Apa itu MyCSD?
Secara mudahnya, MyCSD adalah cangred kedua untuk setiap pelajar ambilan baru Universiti APEX Sidang Akademik 2009/2010. Cangred ini akan merekodkan setiap aktiviti siswa/i dari aspek pembangunan sahsiah, bermula dengan program PIMPIN SISWA dan kemudiannya diikuti dengan aktiviti-aktiviti ‘soft-skill’ dan ko-kurikulum yang lain. ’CSD’ bermaksud ‘Continueous Student Development’ [Pembangunan Pelajar Berterusan]. Dengan wujudnya MyCSD, segala maklumat aktiviti siswa/i akan direkodkan secara terperinci. Oleh yang demikian, siswa/i akan mempunyai data pembangunan sahsiah yang lengkap, bukan sahaja untuk digunakan ketika memohon pekerjaan setelah tamat belajar nanti, tetapi juga untuk mendapat tempat di desasiswa sepanjang mereka masih dalam tempoh pengajian lagi.

Gambar 1: Antara penggubal modul MyCSD di Lumut, Perak sebelum Bengkel MyCSD bermula.
Bengkel MyCSD untuk para penggubal modul telah diadakan berkali-kali di Pulau Pinang, sebelum dimantapkan kemudiannya dengan jumlah ahli yang lebih ramai lagi pada 20-22 Mei 2009 di Swiss-Garden Golf Resort and Spa di Damai Laut, Lumut, Perak Darul Ridzuan.

Gambar 2: Backdrop Bengkel Pemantapan MyCSD
Bengkel yang dilaksanakan di Damai Laut ini memang kena pada tempatnya memandangkan tugas berat yang dipikul ini perlu dilakukan dengan teliti dan dengan pemikiran yang mendalam. Keindahan alam yang menakjubkan, sesuai dengan namanya “Damai Laut” membolehkan para penggubal memperoleh kedamaian dan ketenangan fikiran untuk melaksanakan misi dan visi universiti ini.

Gambar 3: Keindahan panorama alam di Swiss-Garden, Damai Laut.
























