TAKZIAH
(buat Shifa – seorang gadis Palestina)
(I)
Beit Aula
dalam senja merah
tersingkap kisah duka seorang gadis 16
shifa markusi
Merah tanah yang membalut jasadnya
adalah dukanya yang sepi
adalah darahnya yang terpercik di penjara Baitulham
adalah kemanusiaan yang pupus
adalah kasih sayang yang rapuh
adalah harapan yang pudar
kerana peradaban angkuh
kerana kebiadaban sikap
kerana tegangnya perang
I S R A E L – P A L E S T I N A.
Shifa
kau masih hijau
belum kenal dunia
saat bilah-bilah busur cinta
moussa khatib menusuk dadamu, kau tersungkur
dan selendang suteranya membalut lukamu
membelat segenap rasa, seperti puisi Majnun
membelat luka Laylanya
dalam lagenda agung bangsamu.
Demikianlah Shifa,
cinta luhur itu hanya kau merasainya
tapi buat dunia getir Baitulmaqdis
apalah ertinya cinta!
lantas, bilah-bilah busur beracun
bersalut dendam dan prasangka
dilepaskan ke jantungmu
episod ini
kau rebah tanpa nyawa!.
(II)
Shifa
tiada ratap dari keluargamu
tiada simpati dari jiranmu
mengiring dingin tubuhmu ke permakaman
segalanya, mencuit hatiku untuk turut merasa
nasib gadis tidak berdosa
terbelenggu dalam resam Arab mendabik dada
pun perang sesama manusia.
Wahai hati-hati seni
utusi takziah buat gadis malang ini.
Oleh: Rahimah Haji A. Hamid
Dewan Sastera, September, 2006, hlm. 88